Thursday, 29 August 2013

hukum tajrid




2: AHLI ASBAB DAN AHLI TAJRID
KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN
KAMU DALAM SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA
KEINGINAN KAMU UNTUK BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN
KAMU DALAM SUASANA TAJRID BERERTI TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT
YANG TINGGI.

Hikmat 1 menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung
kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini
dinamakan alam asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui
mata ilmu atau mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab
musabab yang mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut
sebab yang menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat
erat. Mata akal melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan
akibat. Kerapian sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil
manfaat daripada anasir dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir
yang boleh memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga
boleh menentukan anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya.
Manusia boleh membuat ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak,
letupan gunung berapi dan lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan
anasir alam berada dalam suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk
hubungan sebab dan akibat yang padu.
Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk
kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal
dan pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan
perjalanan sebab musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah
lahir berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains,
astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu
itu dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan
hukum sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam
mendapatkan hasil (akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab
dalam menentukan akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat
manusia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan
penuh keyakinan bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah
s.w.t tidak ikut campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya
‘mempertuhankan’ sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-
Nya. Allah s.w.t tidak suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap
mempersekutukan diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan
hukum sebab-akibat ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan keberkesanan kepada
anasir alam berkuasa membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang
meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak hukum
tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat yang
merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia
kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab ketuhanan-Nya.
Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s,
kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk
ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan
banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak keberkesanan hukum
sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan
Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat.
Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat manusia mengenal
Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian daripada
manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab musabab.
Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus
sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada
sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau
mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab
berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya
sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut
dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki
langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang
kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah
Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu
tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 : Surah al-
Baqarah )
Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebabakibat
tidak meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut.
Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab.
Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebabakibat.
Ahli tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan
memasak dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan sesuatu
pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya. Tidak ada perbezaan di antara
amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab. Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu
hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat
kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu. Walaupun ahli asbab
mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya pada hati
tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka
perlu memaksa diri mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar
tidak menjadi rosak. Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat
ikhlas dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak
(berbuat baik untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang
baik), takbur (sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik,
lebih tinggi, lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama’ah
(membawa perhatian orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan
cara bercerita mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang
baik). Jadi, ahli asbab perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan
juga selepas melakukannya. Suasana hati ahli tajrid berbeza daripada apa yang
dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan dirinya supaya ikhlas,
ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar kepada
amal kebaikan yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan yang keluar daripada
mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan tersebut.
Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak ikhlas.
Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat diri sendiri yang
ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya masih
tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub (merasakan diri
sendiri sudah baik) dan sama’ah. Apabila tangan kanan berbuat ikhlas dalam
keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu baharulah tangan kanan itu
benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan melupakan
kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin diberi harta
oleh jutawan, orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan itu dengan
mengatakan yang dia sudah kaya. Orang tajrid yang diberi ikhlas oleh Allah
s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah s.w.t. Jika harta orang
miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah hak Allah s.w.t. Jadi,
orang asbab bergembira kerana melakukan perbuatan dengan ikhlas, orang
tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir sekalian urusan. Ahli asbab
dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam penyerahan.
Kebaikan yang dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat
kepada Allah s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan. Kebaikan yang
dilakukan oleh ahli tajrid merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada kumpulan
manusia yang tidak memandang kepada diri mereka dan kepentingannya. Ahli
asbab melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli tajrid pula
melihat kepada keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t. Dari
kalangan ahli tajrid, Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan meletakkan
kekuatan hukum pada mereka. Kumpulan ini bukan sekadar tidak melihat
kepada keberkesanan hukum sebab-akibat, malah mereka berkekuatan
menguasai hukum sebab-akibat itu. Mereka adalah nabi-nabi dan wali-wali
pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat dan wali-wali dianugerahkan
kekeramatan. Mukjizat dan kekeramatan merombak keberkesanan hukum
sebab-akibat.
Di dalam kumpulan wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal
hukum sebab-akibat itu terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Kadir al-
Jailani, Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham dan lain-lain.
Cerita tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan. Orang yang
cenderung kepada tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan aulia Allah
s.w.t tersebut sebagai contoh, dan yang mudah memikat perhatian adalah
bahagian kekeramatan. Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan perilaku
kehidupan yang zuhud dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul
anggapan bahawa jika mahu memperolehi kekeramatan seperti mereka mestilah
hidup sebagaimana mereka. Orang yang berada pada peringkat permulaan
bertarekat cenderung untuk memilih jalan bertajrid iaitu membuang segala
ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid
membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan
dunia seluruhnya. Semua harta disedekahkan kerana dia melihat Saidina Abu
Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham telah meninggalkan
takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu tinggal di dalam gua.
Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat bertahan lama.
Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan kembali
kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang
lebih buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu kerana dia mahu
menebus kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat.
Keadaan yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang
baharu masuk ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti
aulia Allah s.w.t yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan
mencampak semua yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya
berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang boleh menggoncangkan imannya
dan mungkin juga membuatnya berputus-asa. Apa yang harus dilakukan
bukanlah meniru kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah mencapai makam yang
tinggi secara melulu. Seseorang haruslah melihat kepada dirinya dan
mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya dan daya-tahannya. Ketika masih
di dalam makam asbab seseorang haruslah bertindak sesuai dengan hukum
sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya dan harus pula
berusaha menjauhkan dirinya daripada bahaya atau kemusnahan.
Ahli asbab perlu berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan sifatsifat
kemanusiaan. Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi
kesan kepada dirinya. Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia
mengadakan juga tindakan yang menurut pandangannya akan mendatangkan
kesejahteraan kepada dirinya dan orang lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan
seseorang pada kedudukan sebagai ahli asbab ialah apabila urusannya dan
tindakannya yang menurut kesesuaian hukum sebab-akibat tidak
menyebabkannya mengabaikan kewajipan terhadap tuntutan agama. Dia tetap
berasa rengan untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat
duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap orang lain. Apabila ahli asbab berjalan
menurut hukum asbab maka jiwanya akan maju dan berkembang dengan baik
tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang boleh menyebabkan dia
berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi
sedikit dan menolaknya ke dalam makam tajrid secara selamat. Akhirnya dia
mampu untuk bertajrid sepenuhnya.
Ada pula orang yang dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang ini asalnya
adalah ahli asbab yang berjalan menurut hukum sebab-akibat sebagaimana
orang ramai. Kemungkinannya kehidupan seperti itu tidak menambahkan
kematangan rohaninya. Perubahan jalan perlu baginya supaya dia boleh maju
dalam bidang kerohanian. Oleh itu takdir bertindak memaksanya untuk terjun
ke dalam lautan tajrid. Dia akan mengalami keadaan di mana hukum sebabakibat
tidak lagi membantunya untuk menyelesaikan masalahnya. Sekiranya dia
seorang raja, takdir mencabut kerajaannya. Sekiranya dia seorang hartawan,
takdir menghapuskan hartanya. Sekiranya dia seorang yang cantik, takdir
menghilangkan kecantikannya itu. Takdir memisahkannya daripada apa yang
dimiliki dan dikasihinya. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan
takdir yang demikian, sebagai ahli asbab, dia berikhtiar menurut hukum sebabakibat
untuk mempertahankan apa yang dimiliki dan dikasihinya. Jika dia tidak
terdaya untuk menolong dirinya dia akan meminta pertolongan orang lain.
Setelah puas dia berikhtiar termasuklah bantuan orang lain namun, tangan
takdir tetap juga merombak sistem sebab-akibat yang terjadi ke atas dirinya.
Apabila dia sendiri dengan dibantu oleh orang lain tidak mampu mengatasi arus
takdir maka dia tidak ada pilihan kecuali berserah kepada takdir. Dalam
keadaan begitu dia akan lari kepada Allah s.w.t dan merayu agar Allah s.w.t
menolongnya. Pada peringkat ini seseorang itu akan kuat beribadat dan
menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia benar-benar berharap Tuhan
akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah dimilikinya dan
dikasihinya. Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya sehinggalah dia
benar-benar terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya itu. Luputlah
harapannya untuk memperolehinya kembali. Redalah dia dengan perpisahan
itu. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala
urusannya kepada Tuhan. Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak
ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba
Allah s.w.t yang bertajrid. Apabila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka
Allah s.w.t sendiri akan menguruskan kehidupannya. Allah s.w.t
menggambarkan suasana tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah
jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )
Makhluk Allah s.w.t seperti burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki
tempat simpanan makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki
mereka oleh Allah s.w.t. Jaminan Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia.
Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid
ialah Allah s.w.t memudahkan baginya rezeki yang datang dari arah yang tidak
diduganya. Jiwanya tetap tenteram sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki
atau ketika menerima bala ujian.
Sekiranya ahli tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab maka
ini bermakna dia melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada
makhluk . Ini menunjukkan akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan
Allah s.w.t. Tindakan yang jahil itu boleh menyebabkan berkurangan atau hilang
terus keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Misalnya, seorang ahli
tajrid yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang
ramai kepada jalan Allah s.w.t, walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan
namun, rezeki datang kepadanya dari berbagai-bagai arah dan tidak pernah
putus tanpa dia meminta-minta atau mengharap-harap. Pengajaran yang
disampaikan kepada murid-muridnya sangat berkesan sekali. Keberkatannya
amat ketara seperti makbul doa dan ucapannya biasanya menjadi kenyataan.
Andainya dia meninggalkan suasana bertajrid lalu berasbab kerana tidak puas
hati dengan rezeki yang diterimanya maka keberkatannya akan terjejas.
Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak seberkesan dahulu lagi. Ilham yang
datang kepadanya tersekat-sekat dan kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang hamba haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah
s.w.t kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin
bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang
patut bagi setiap makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan
hamba-hamba-Nya.
Keinginan kepada pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus.
Di dalamnya tersembunyi rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini
merangkumi kehendak, cita-cita dan angan-angan. Orang yang baharu terbuka
pintu hatinya setelah lama hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak
untuk meninggalkan suasana asbab dan masuk ke dalam suasana tajrid. Orang
yang telah lama berada dalam suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali
sepenuhnya, ikut kembali kepadanya adalah keinginan, cita-cita dan anganangan.
Nafsu mencuba untuk bangkit semula menguasai dirinya. Orang asbab
perlulah menyedari bahawa keinginannya untuk berpindah kepada makam
tajrid itu mungkin secara halus digerakkan oleh ego diri yang tertanam jauh
dalam jiwanya. Orang tajrid pula perlu sedar keinginannya untuk kembali
kepada asbab itu mungkin didorong oleh nafsu rendah yang masih belum
berpisah dari hatinya. Ulama tasauf mengatakan seseorang mungkin dapat
mencapai semua makam nafsu, tetapi nafsu peringkat pertama tidak kunjung
padam. Oleh yang demikian perjuangan atau mujahadah mengawasi nafsu
sentiasa berjalan.

No comments:

Post a Comment